Rayhanah adalah sebuah jenama kesihatan berteraskan produk makanan sunnah seperti Habbatussauda, Minyak Zaitun, Kelapa Dara, serta Madu Sumur dan Madu Sidr dari Lembah Hadramawt, Yaman. Merupakan syarikat Bumiputera muslim, visi kami adalah untuk menjadi syarikat utama pengedar makanan kesihatan semulajadi, berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah secara klinikal dan beretika di Malaysia.
Cinta Gaza Malaysia pula merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam misi bantuan kemanusiaan di Palestin khususnya di Gaza. Sebagai organisasi yang beraudit, CGM merupakan antara organisasi yang banyak melaksanakan misi bantuan terus ke Gaza.
Kerjasama antara pihak Rayhanah dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) melalui kempen "Dari Kita Untuk Mereka" merupakan sebuah inisiatif yang bertujuan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang memerlukan.
Tujuan kempen ini adalah untuk mengangkat solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas oleh kekejaman pihak Zionis melalui peperangan yang telah berlanjutan hari demi hari serta dalam masa yang sama juga ingin menyebarkan kebaikan dan manfaat kesihatan kepada para pengguna produk Set Sunnah Rayhanah. Kempen ini merupakan kempen 'serampang dua mata' dimana selain menjalankan inisiatif pengumpulan dana melalui solidariti rakan korporat dengan hashtag #samasamapeduli, ia juga berfokuskan kepada penjualan produk khas kempen dengan konsep 'membeli sambil menderma' dengan hashtag #satukotaksatuharapan.
Hasil pengumpulan dana dengan sasaran RM80,000.00 akan disalurkan kepada pihak Cinta Gaza Malaysia untuk menjalankan misi-misi bantuan kemanusiaan yang akan berfokuskan kepada bantuan-bantuan Emergency Relief berbentuk bekalan makanan panas dan sumber air bersih untuk rakyat Gaza. Kempen kerjasama ini akan berlangsung selama tujuh bulan bermula dari Jun 2025 dan akan berlanjutan sehingga akhir Disember 2025 ini. Pelbagai aktiviti yang telah disusun bagi memberi kesedaran dan peluang kepada masyarakat yang ingin menyokong perjuangan memberi bantuan ini.