Madu merupakan makanan semulajadi yang telah wujud sejak zaman-berzaman. Pengambilannya amat bermanfaat terutama sebagai sumber tenaga dan penjagaan kesihatan harian.

Namun, sepanjang kewujudannya juga terdapat pelbagai mitos tentang madu yang tersebar dan sering di uar-uarkan terutama oleh pengedar madu yang terdiri dari pelbagai lapisan generasi dan masyarakat.

Jom kita ketahui lebih lanjut 6 mitos tentang madu dan fakta sebenar di sebaliknya.

1- Madu datang dalam bentuk cecair, krim, atau serbuk

Seiring dengan kecanggihan teknologi, kini terdapat pelbagai jenis madu yang boleh ditemui di pasaran. Terdapat produk-produk madu yang didapati dalam bentuk serbuk mahupun krim.

Namun, ianya bukanlah madu asli yang sebenar, tetapi lebih kepada produk madu yang telah diolah dengan pelbagai teknologi moden.

Fakta:

Madu merupakan sejenis cairan likat yang dihasilkan oleh lebah daripada nektar, dan ia mengandungi 10 – 20% kandungan air, justeru madu asli hanya datang dalam bentuk cairan yang berbeza kelikatan bergantung pada jumlah kandungan airnya.

Selain madu yang diolah, madu yang dikatakan dalam bentuk serbuk pula berkemungkinan adalah produk bee pollen atau roti lebah (bee bread) yang diambil dari debunga pollen dari sarang lebah.

2- Madu tidak pernah rosak

Madu dikatakan dapat disimpan lama dan tidak akan pernah rosak. Malah terdapat pihak yang menyimpan madu hingga berpuluh-puluh tahun.

Namun, tanggapan bahawa madu tidak akan pernah rosak adalah tidak benar.

Fakta:

Madu dapat disimpan dalam tempoh yang lama disebabkan kandungan gulanya yang tinggi, kadar air yang rendah, serta kandungan asid dan hydrogen peroxide (anti-bakteria) nya yang menghalang pembiakan kuman dan kulat.

Namun, madu masih boleh rosak sekiranya ia tercemar dengan spora-spora berbahaya seperti C. Botulinum; lebah mengambil nektar dari tumbuhan bertoksik; madu diubah suai dan ditambah bahan asing; atau madu yang tidak disimpan dengan cara yang betul.

3- Madu asli tidak dikerumuni semut?

Antara mitos madu yang popular dan sering tersebar dalam kalangan pengedar madu adalah madu asli tidak akan dihurung semut.

Namun, ianya juga adalah tidak benar sama sekali kerana madu asli juga masih boleh manarik kedatangan semut atau serangga kecil lain.

Fakta:

Sebahagian besar kandungan madu terdiri daripada gula dan secara amnya semut akan tertarik pada gula dan sesuatu yang manis. Oleh itu, sebarang madu asli yang tidak ditambah bahan kimia dapat menarik minat semut.

Namun, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tarikan semut pada sesuatu madu seperti kandungan air, tahap keasidan madu, serta sumber nektar madu tersebut.

Madu yang pekat dan kurang kandungan air biasanya kurang digemari semut berbanding madu yang cair.

4- Tidak boleh menggunakan sudu logam untuk ambil madu

Para pengguna madu juga sering di ingatkan supaya tidak menggunakan sudu logam atau besi untuk mencedok madu dan hanya menggunakan sudu plastik atau kayu.

Namun, kenyataan ini juga hanyalah mitos dan perbuatan mencedok madu menggunakan sudu logam tidak berbahaya sama sekali.

Fakta:

Madu bersifat asidik, dan disebabkan bahan berasid boleh menghakis logam, dikhuatiri komponen logam boleh bercampur dalam madu.

Namun, tindakbalas ini hanya mungkin berlaku sekiranya sudu logam ditinggalkan di dalam madu dalam tempoh yang lama.

Perbuatan mencedok madu menggunakan sudu besi tidak berbahaya kerana tindakbalas kimia tidak sempat berlaku. Asid organik yang ada di dalam madu juga hanyalah asid lemah yang tidak cukup kuat untuk manghakis permukaan sudu dalam tempoh yang singkat.

5- Madu mengandungi lemak

Madu terkenal sebagai makanan kesihatan yang dapat membekalkan pelbagai sumber nutrisi yang diperlukan badan.

Namun, kenyataan bahawa madu mengandungi lemak adalah tidak benar.

Fakta:

Madu tidak mengandungi sebarang kandungan lemak. Kandungan nutrisi madu hanyalah terdiri dari pelbagai jenis karbohidrat/gula terutamanya karbohidrat ringkas seperti fruktosa dan glukosa, serta beberapa sumber vitamin, mineral, dan antioksidan semulajadi.

Sumber protein di dalam madu juga adalah sangat kecil, dan madu hampir tidak mengandungi sebarang lemak dan serat. Ikuti kupasan lebih lanjut berkaitan sumber nutrisi madu dan khasiatnya (Nutrisi Madu dan 5 Khasiatnya Untuk Kesihatan).

6- Adalah lebih baik untuk mencampurkan madu dalam air panas

Ramai pengguna madu yang sering mencampurkan madu ke dalam air panas. Malah ada yang sering mencampurkan madu ke dalam kopi atau teh panas untuk menggantikan gula sebagai alternatif yang lebih sihat.

Namun, sebenarnya perbuatan mencampurkan madu ke dalam air panas yang mendidih adalah tidak digalakkan. 

Fakta:

Madu sebaiknya tidak dicampur dengan air yang terlalu panas kerana ia akan menyebabkan kerosakan nutrisi pada madu, dan khasiatnya akan berkurang.

Anda sebaliknya boleh mencampurkan madu dengan air suam yang suhunya tidak melebihi 60°C.

Dapatkan madu asli premium dan berkualiti tinggi di import khas dari Lembah Hadramawt keluaran Rayhanah.

Nak dapatkan Madu Original?

Sumber Rujukan:

Bogdanov, Stefan. (2016). Honey Composition. Bee Product Science.

“Does honey ever go bad? What you should know”, Elise Mandi, 2018, www.healthline.com

“Madu Asli Tidak Dikerumuni Semut, Mitos atau Fakta?”, Dr. Arina Heidyana, Ayu Maharani, 2020, www.klikdokter.com

“Betul ke madu tidak boleh dimakan menggunakan sudu besi”, Dr. Che Puteh Osman, 2020.

“Fakta Nutrisi Madu”, Ayu Sartika, 2020, https://health.kompas.com

“Minum Madu Sebaiknya Tidak Pakai Air Panas”, Prof. Dr. Ir. Asnath Maria Fuah, 2021.